Sultan Brunei terima menghadap Anwar

BANDAR SERI BEGAWAN: Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Brunei, di Istana Nurul Iman di sini hari ini.

Turut berangkat pada majlis menghadap itu ialah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha manakala Anwar diiringi isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Hadir sama, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah.

Anwar kemudian mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Hassanal Bolkiah.

Selesai pertemuan itu, Perdana Menteri dan Sultan Brunei menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Agensi Pelaburan Brunei (BIA).

Malaysia diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman, manakala Pemangku Pengarah Urusan BIA, Sofian Mohammad Jani, menandatangani MoU bagi pihak Brunei.

MoU berkenaan akan membolehkan kedua-dua pihak mengadakan rundingan ke arah pelaksanaan dan penyediaan perjanjian lanjut mengenai pelaburan dua hala.

MoU itu merangkumi kerjasama dan pelaburan dua hala dalam sektor minyak dan gas hiliran, ekonomi digital, pembuatan pintar, pertanian pintar, kecerdasan buatan (AI), pelancongan dan industri makanan halal.

Delegasi Malaysia kemudian diraikan pada Majlis Persantapan Rasmi oleh Sultan Hassanal Bolkiah.

Anwar tiba di Brunei semalam dan diberikan sambutan rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Malam tadi, Anwar menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Bandar Seri Begawan yang dihadiri lebih 400 rakyat Malaysia yang menetap di negara ini.

Kunjungan ini ialah lawatan rasmi ke luar negara yang kedua selepas Indonesia setelah Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada November tahun lepas.

Related posts

Leave a Comment