Malaysia Brunei optimum kerjasama

BANDAR SERI BEGAWAN 24 Jan. –  Malaysia dan Brunei sepakat mengoptimumkan kerjasama peringkat rantau demi manfaat bersama negara wilayah ini, kata Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Katanya, kerjasama peringkat rantau adalah potensi baharu wajar dibangunkan dan ASEAN boleh berperanan secara proaktif bagi menentukan penawaran dalam kalangan negara anggota tidak terganggu.

“Pergerakan dan logistik barangan serta perkhidmatan dapat dilakukan dalam rantau ASEAN dengan lebih mudah, maknanya tidak perlu terlalu bergantung kepada sumber yang terlalu jauh jaraknya.

“Banyak ruang kerjasama boleh diterokai bersama Malaysia dan Brunei kerana kerjasama peringkat ASEAN bakal memberi pelbagai nilai tambah, selain mengatasi kesenjangan ekonomi,” katanya kepada media Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata, peralihan pasca pandemik Covid-19 membawa nafas baharu dalam hubungan Malaysia-Brunei apabila kedua-dua negara melihat ruang besar boleh diterokai bersama, susulan perubahan dari segi rangkaian penawaran peringkat global.

Ia diperkukuh dengan pelbagai krisis bekalan yang turut menjejaskan rantau ASEAN akibat pergolakan Russia-Ukraine yang belum menampakkan tanda-tanda untuk reda sehingga kini.

Dr. Zambry berada di sini bagi mengiringi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang melakukan lawatan rasmi dua hari bermula hari ini.

Sementara itu, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berkenan menerima menghadap Dr Zambry dan delegasi Kementerian Luar Negeri dalam Majlis Mengadap yang telah diadakan di Istana Nurul Iman tengahari tadi.

Sultan Brunei juga adalah Menteri Luar Negeri Negara Brunei Darussalam.

Antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan perkenalan ini adalah berkenaan persediaan lawatan Perdana Menteri di mana Sultan Brunei sangat mengalu-alukan lawatan ini.

Baginda berharap kedua-dua pihak dapat membincangkan isu-isu yang menjadi kepentingan bersama kedua buah negara.

“Kami juga ada menyentuh berkenaan status semasa hubungan dua hala Malaysia-Brunei yang amat istimewa.  Kedua belah pihak telah bersetuju bahawa setiap isu yang timbul wajar dibincangkan sebagai sebuah keluarga,” katanya.

Foto: Jabatan Penerangan Brunei.

Related posts

Leave a Comment