Malaysia tuan rumah rundingan tahunan

BANDAR SERI BEGAWAN 24 Jun – Rundingan tahunan pemimpin Malaysia dan Brunei (ALC) yang bertujuan meningkatkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara akan diadakan di Malaysia pada tahun ini.

Menteri Luar Dr. Zambry Abdul Kadir berkata pertemuan tahunan dua pemimpin utama dan pegawai kanan dari kedua-dua negara itu bagi mendalami perkara-perkara yang perlu diselaraskan.

“Tahun ini di Malaysia, sebelum ini di Bandar Seri Begawan pada 2021. Ini juga adalah antara perbincangan empat mata saya dengan Menteri Luar Kedua Brunei Datuk Seri Erywan Mohd Yusof semalam.

“Kami bincang dalam usaha kukuhkan hubungan dua negara. Melalui ALC, juga ada beberapa mesyuarat, Pertukaran Surat termasuk hal-hal kita persetujui bersama,” katanya.

Menurut Zambry dalam pertemuan dengan Erywan, mereka juga ada membincangkan mengenai ASEAN terutama usaha untuk memperkukuh hubungan dalam ASEAN dan tindakan bersama menangani isu dalam negara-negara ASEAN termasuk kedudukan Myanmar.

Beliau berkata mereka turut berbincang mengenai suasana dalam dunia Islam dan bagaimana Brunei yang menjadi negara contoh dapat dijadikan rujukan.

Zambry berada di Brunei bagi mengiringi Perdana Menteri Anwar Ibrahim melakukan lawatan rasmi dua hari bermula hari ini.

Perdana Menteri dijadualkan menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, serta menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Lembaga Pelaburan Pembangunan Malaysia (MIDA) dan Agensi Pelaburan Brunei (Brunei Investment Agency).

MoU ini merupakan hasil Lawatan Khas Sultan Brunei ke Malaysia pada 28 November lalu yang  memberi peluang kepada kedua-dua buah negara untuk meneroka potensi pelaburan bersama.

Related posts

Leave a Comment