Tahun Arnab diharap bawa sinar kejayaan

KUALA LUMPUR 21 Jan. –  Presiden MCA Dr. Wee Ka Siong mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina sambil mengharapkan Tahun Arnab kali ini membawa sinar kejayaan kepada semua.

“Mudah-mudahan kita semua diberikan kekuatan dan kecekalan dalam mengharungi masa depan, dikurniakan kesihatan baik berpanjangan dan sentiasa ceria,” katanya melalui Facebooknya.

Bekas Menteri Pengangkutan itu juga mengingatkan pengguna jalan raya supaya menjadi pengguna yang berhemah dan bertimbang rasa, kerana jalan raya adalah milik semua, dikongsi bersama.

“Selenggara kenderaan masing-masing sebelum memulakan perjalanan. Paling penting, pastikan diri terutamanya pemandu mendapat rehat secukupnya. Nikmatilah masa indah bersama insan tersayang!,” katanya.

Terdahulu, Ka Siong menyifatkan peruntukan pentadbiran RM40 juta kepada Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) pada 17 Januari lalu sebagai angpow Tahun Baharu Cina yang amat bermakna.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TAR UMT itu berkata, kelulusan peruntukan sebelum Tahun Baru Cina itu satu berita baik kepada institusi pendidikan, pelajar serta keluarga yang akan mendapat manfaat daripada pembiayaan ini.

“Terima kasih Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah memberi angpow Tahun Baru Cina yang amat bermakna,” katanya.

Penghargaan juga ditujukan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang berkongsi berita gembira ini semasa lawatan beliau ke TAR UMT.

“Ketika saya pertama kali bertemu Datuk Seri Anwar pada Disember lalu, beliau bertekad meluluskan peruntukan ini bagi menyokong TAR UMT dalam menyediakan pendidikan berkualiti kepada rakyat Malaysia.

“Sejak ditubuhkan pada tahun 1969, TAR UMT telah memberikan pendidikan kepada ratusan ribu pelajar. Pada masa ini, terdapat 29,000 pelajar dari pelbagai latar belakang, kaum, agama dan fahaman politik yang menuntut di TAR UMT,” katanya.

Related posts

Leave a Comment