500,000 pekerja asing masuk berperingkat

KUALA LUMPUR 18 Jan. – Sebanyak 500,000 pekerja asing dibawa masuk ke negara ini secara berperingkat menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata kemasukan pekerja asing itu bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja khusus bagi lima sektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran).

Katanya, mengikut data yang diberikan, beliau mendapati pekerja asing diperlukan oleh sektor kritikal buat masa ini adalah dalam lingkungan 500,000 orang.

“Bagaimanapun, kita (KSM) akan lihat sekiranya ada keperluan untuk menambah pekerja asing, kita akan tambah tetapi ia tidak boleh melebihi 2.4 juta pekerja asing seperti diperuntukkan bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Malam Gala Anugerah Pembangunan Sumber Manusia (HRD) Ke-20 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, malam tadi.

Anugerah HRD merupakan pengiktirafan tertinggi di peringkat kebangsaan bagi majikan, penyedia latihan dan jurulatin berdaftar HRD Corp yang felah berada di barisan hadapan dalam inovasi serta transformasi modal insan.

Sebanyak 31 anugerah diberikan kepada majikan, penyedia latihan dan jurulatih yang dibahagikan kepada kategori Anugerah Menteri Sumber Manusia untuk 17 mailkan besar manakala Anugerah HRD Corp kepada 14 penerima terdiri daripada pengusaha Perusahaan Kecil Sederhana (PKS), penyedia Latihan dan jurulatih.

Menurut Sivakumar, ketika ini kumpulan pekerja asing sudah memasuki negara ini secara berperingkat dan dijangka lebih ramai akan dibawa masuk menerusi program berkenaan.

Sebelum ini, melalui satu kenyataan, beliau memaklumkan pelaksanaan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing bertujuan menyegerakan proses permohonan dan kelulusan penggajian pekerja asing dalam sektor kritikal.

Beliau berkata, majikan dalam kelima-lima sektor atau subsektor kritikal boleh mengemukakan permohonan penggajian pekerja asing di platform Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) di bawah Modul FWe Approval berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini juga dilaporkan berkata, majikan akan dibenarkan menggaji pekerja asing dari 15 negara sumber tanpa melalui prasyarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota.

Saifuddin dilaporkan akan mengetuai siri lawatan bersama KSM dan agensi kawal selia ke tiga negara sumber terpilih bagi membincangkan perihal keselamatan dan kebajikan pekerja asing di negara ini.

 

Related posts

Leave a Comment