Tindakan Hajiji belakangi saranan PM

KOTA KINABALU 12 Jan. – Tindakan Ketua Menteri Sabah,  Hajiji Noor, meneruskan majlis angkat sumpah Kabinet baharu negeri semalam, tidak menggambarkan kerangka Kerajaan Perpaduan.

Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal, berkata tindakan Hajiji itu turut membelakangi saranan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dan melanggar persetujuan serta kesepakatan yang dicapai.

Mohd Shafie berkata, Warisan menyokong penuh saranan dikemukakan Anwar dalam pertemuannya dengan Hajiji baru-baru ini, supaya sebuah Kerajaan Perpaduan dibentuk di Sabah.

“Saranan itu turut dipersetujui dan disokong UMNO serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang menghadiri pertemuan itu.

“Penubuhan secepat mungkin sebuah jawatankuasa khas juga ditetapkan bagi merungkai butiran berkaitan kepemimpinan Kerajaan Perpaduan Sabah, bertujuan untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata, kemelut politik Sabah boleh diatasi jika persetujuan dan kesepakatan menubuhkan Kerajaan Perpaduan membabitkan semua parti yang menganggotai kerajaan di peringkat Persekutuan dapat dicapai.

Semalam, Hajiji mengumumkan rombakan Kabinet Negeri menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan yang antara lain menyaksikan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) tersenarai iaitu Pengerusi PH Sabah, Christina Liew (PKR) dan ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe (DAP).

Related posts

Leave a Comment