Kes Covid-19 catat penurunan

PUTRAJAYA 4 Jan. – Jumlah jangkitan harian Covid-19 dalam negara terus menunjukkan trend penurunan dan kekal di bawah 500 kes dengan merekodkan 333 semalam berbanding 360 kelmarin dan 420 pada hari pertama 2023.

Menurut portal KKMNOW satu kes import turut direkodkan dan dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan kes tempatan meningkat kepada 4,989,250 dan 38,540 kes import.

Satu lagi kematian direkodkan semalam yang membawa kepada jumlah keseluruhan 36,859 orang meninggal dunia termasuk 7,854 kematian yang berlaku di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).

Sementara itu, kes aktif yang direkodkan semalam berkurangan 44 kes menjadikan  11,763 kes dan daripada jumlah itu, 11,109 kes atau 94.4 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.

Tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC), manakala 622 pesakit atau 5.3 peratus mendapat rawatan di hospital dengan 32 daripadanya ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 20 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak 376 pesakit lagi dilaporkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan 4,979,168 pesakit pulih.

Related posts

Leave a Comment