Kes harian Covid-19 turun lagi

PUTRAJAYA 3 Jan. – Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 dalam negara masih menunjukkan trend penurunan dan kekal berada di bawah 500 kes apabila merekodkan 360 kes semalam berbanding 420 kes pada hari pertama 2023.

Menurut portal KKMNOW satu kes import turut direkodkan dan dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan kes tempatan meningkat kepada 4,988,918 dan 38,539 kes import.

Satu lagi kematian direkodkan semalam yang membawa kepada jumlah keseluruhan 36,858 orang meninggal dunia termasuk 7,854 kematian yang berlaku di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).

Sementara itu, kes aktif yang direkodkan semalam berkurangan 64 kes menjadikan  11,807 kes dan daripada jumlah itu, 11,197 kes atau 94.8 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.

Tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC), manakala 580 pesakit atau 4.9 peratus mendapat rawatan di hospital dengan 30 daripadanya ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 16 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak 423 pesakit lagi dilaporkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan 4,978,792 pesakit pulih.

Related posts

Leave a Comment