211 negara diminta namakan stadium Pele

PERSEKUTUAN Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akan meminta setiap 211 negara mengabadikan nama Pele pada sebuah stadium bola sepak masing-masing sebagai penghormatan kepada legenda bola sepak dunia.

Presiden FIFA, Gianni Infantino berkata, FIFA pastinya akan memberi penghormatan kepada ‘raja’ tersebut seperti mana beliau layak dan sudah meminta semua persatuan bola sepak di dunia untuk bertafakur sebelum setiap perlawanan.

Pele, katanya merupakan satu-satunya pemain lelaki untuk memenangi Piala Dunia sebanyak tiga kali dan generasi akan datang mesti tahu dan mengingati Pele.

Pemain bola sepak terhebat dunia sepanjang zaman itu, Pele menjaringkan 1,091 daripada 1,283 gol sepanjang 18 tahun bersama Santos, tempat dia membuat penampilan pertama secara profesional pada 1956 ketika berusia 15 tahun.

Selebihnya dijaringkan bersama pasukan kebangsaan Brazil – dengan dia menang tiga Piala Dunia – dan New York Cosmos, tempat dia beraksi selama dua tahun sebelum bersara pada 1977.

Sementara itu, Pele, 82 akan disemadikan di bandar Santos, tempat kelahirannya.

Jenazahnya diletakkan di padang Stadium Vila Belmiro, gelanggang rasmi Santos FC, kelab Pele bermain dalam sebahagian besar kariernya – dan mengadakan majlis memperingati selama 24 jam selepas kematiannya pada Khamis lalu.

Ribuan orang berbaris di luar stadium bagi memberikan penghormatan terakhir mereka termasuk Gianni Infantino.

Related posts

Leave a Comment