Persampelan air kumbahan dua kali seminggu

PUTRAJAYA 2 Jan. – Persampelan air kumbahan daripada pesawat dijalankan sebanyak dua kali seminggu, dalam usaha mengekang penularan Covid-19 di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau ketika menerangkan kaedah ujian air kumbahan yang diambil di pintu masuk antarabangsa (PMA) berkata,

Beliau berkata, secara amnya semua air kumbahan akan dibawa keluar dari kapal terbang melalui trak kumbahan ke kemudahan pelupusan sisa pesawat (AWDF), dan proses itu diselaraskan oleh pihak Airport Ground Handler.

Selepas penerbangan yang disasarkan dikenal pasti, proses persampelan air kumbahan itu dijalankan oleh Pejabat Kesihatan (PK) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan kerjasama pihak lapangan terbang KLIA sebelum air kumbahan berkenaan dilepaskan ke AWDF.

“Sampel-sampel itu kemudian dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) bagi proses pengujian. Persampelan air kumbahan daripada pesawat dijalankan sebanyak dua kali seminggu.

Bagi survelan air kumbahan daripada kapal terbang, sebanyak satu liter sampel diambil daripada pesawat terpilih dan dihantar ke MKAK.

Sampel air kumbahan yang telah dikumpul dan diterima di makmal akan dijalankan proses konsentrasi virus, diikuti proses pengekstrakan RNA virus SARS-CoV-2,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, proses amplifikasi dan pengesanan virus akan dilakukan melalui kaedah Realtime RT-PCR menggunakan kit khas bagi sampel air kumbahan.

Bagi sampel positif dengan nilai CT ≤ 30, ujian penjujukan genom penuh akan dilakukan bagi mengesan varian, sublineage dan mutasi bagi virus berkenaan.

“Keputusan ujian kemudian dikongsikan dengan Pegawai Epidemiologi bagi analisis dan pengumpulan data terperinci untuk melihat trend sebagai survelan berterusan serta proses intervensi,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia mula menjalankan survelan persekitaran Covid-19 menggunakan air kumbahan sejak Jun tahun lalu, sebagai survelan sokongan (Supplementary Surveillance) bagi Covid-19 sejajar dengan fasa peralihan ke endemik.

Objektif survelan ini ialah sebagai amaran awal melalui pengesanan kehadiran virus SARS-CoV-2 dalam sampel air kumbahan, memberi gambaran trend kepekatan virus SARS- CoV-2 dan mengenal pasti varian SARS-CoV-2 yang terdapat dalam komuniti serta memantau keberkesanan intervensi kawalan Covid-19 secara amnya.

Ia membabitkan sampel dari PMA serta 15 lokasi sentinel bagi mewakili setiap negeri di Malaysia. Bagi lokasi sentinel di setiap negeri, sampel air kumbahan diambil dari loji rawatan kumbahan terpilih oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berkenaan.

Sebanyak dua atau tiga sampel diambil dari setiap lokasi sentinel setiap bulan mengikut keperluan, kemudian dihantar ke MKAK bagi proses pengujian. Bagi sampel dari PMA pula, penilaian risiko dijalankan secara berterusan bagi mengenal pasti negara-negara yang berisiko.

“Hasil penilaian ini, semua penerbangan dari negara yang dikenal pasti kemudian diteliti dengan lebih lanjut oleh PK KLIA,” katanya.

Beliau menjelaskan seiring keadaan semasa, survelan air kumbahan PMA akan turut membabitkan sampel dari China.

“Ini akan membolehkan Kementerian Kesihatan (KKM) memantau kemasukan varian SARS-CoV-2 dari China sebagai salah satu langkah kawalan dalam menghadapi situasi semasa,” katanya.

Dr Noor Hisham memaklumkan setakat 31 Disember lalu, MKAK telah menerima sejumlah 330 sampel air kumbahan membabitkan 29 sampel (8.8 peratus) dari PMA dan 301 (91.2 peratus) sampel dari lokasi sentinel.

Bagi 29 sampel dari PMA itu, beliau berkata, hasil pengujian MKAK menunjukkan 28 sampel (96.5 peratus) mempunyai kehadiran SARS-CoV-2 dengan varian Omicron, manakala satu lagi masih dalam proses pengujian.

Daripada 28 sampel itu, 15 (53.6 peratus) sudah lengkap ujian Whole Genomic Sequencing (WGS) dan didapati sublineage dominan yang dikesan ialah BA.5, BA.2, BA.2.75 dan BA.2.12.

Bagi 301 sampel lokasi sentinel pula, sebanyak 288 (95.7 peratus) dikesan ada kehadiran SARS- CoV-2, tiga tidak dikesan dan 10 masih dalam proses pengujian.

Daripada 288 sampel positif Omicron itu, 32 (11.1 peratus) telah lengkap ujian WGS dengan sublineage dominan yang dikesan ialah BA.5, BA.2, BA.2.75 dan BA.2.12.

Related posts

Leave a Comment