Lebih banyak negara saring pelancong China

PERANCIS dan Britain turut mengambil langkah melaksanakan ujian saringan Covid-19 untuk pelancong China yang masuk ke negara-negara berkenaan susulan lonjakan kes di negara itu.

Sebelum ini, Sepanyol, Korea Selatan dan Israel turut mengambil langkah sama iaitu pelancong dari China perlu mengemukakan bukti ujian saringan Covid-19 mereka adalah negatif.

Itali, Jepun, India, Malaysia, Taiwan dan Amerika Syarikat juga mewajibkan ujian saringan dengan keputusan negatif untuk semua pelancong dari tanah besar China dalam usaha untuk mengelakkan penyebaran varian virus baharu.

Sementara itu situasi di hospital dan bilik mayat di China dilaporkan berdepan kesesakan luar biasa, yang menimbulkan kebimbangan antarabangsa terhadap angka rasmi yang rendah mengenai kes jangkitan dan kematian di negara itu.

Malah, China semalam menegaskan bahawa pihaknya telus dalam berkongsi data Covid-19 ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendesak Beijing supaya lebih terbuka untuk berkongsi data semasanya berkaitan kes terkini wabak itu.

Awal minggu ini, seorang pegawai kanan kesihatan Amerika Syarikat (AS) berkata, Beijing hanya menyediakan data terhad kepada pangkalan data global mengenai varian yang tersebar di China, bahkan ujian serta pelaporannya mengenai kes baharu telah berkurangan.

Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin menafikan dakwaan negara itu enggan berkongsi data semasa Covid-19.

“Sejak wabak ini merebak, China telah berkongsi maklumat dan data yang relevan dengan masyarakat antarabangsa, termasuk WHO, secara terbuka dan telus.

“Kami berkongsi urutan kes Covid-19 baharu pada peringkat pertama, sekali gus memberikan sumbangan penting kepada pembangunan vaksin dan ubat-ubatan yang relevan di negara lain,” katanya.

Badan kawalan penyakit kebangsaan di China berkata, terdapat kira-kira 5,500 kes tempatan baharu dan satu kematian semalam.

Bagaimanapun, dengan berakhirnya ujian besar-besaran dan pelaksanaan kriteria tertentu yang lebih khusus bagi mengesahkan sesuatu kes sebagai kematian akibat Covid-19, angka itu tidak lagi dipercayai mencerminkan realiti sebenar.

Britain mewajibkan peraturan itu berkuatkuasa 5 Januari depan, manakala Switzerland bagaimanapun akan terus membuka sempadannya untuk pengembara dari China.

Related posts

Leave a Comment