Covid-19: Pastikan rakyat selamat

KUALA LUMPUR 31 Dis. – Pengerusi Perikatan Nasional (PN),  Muhyiddin Yassin berharap kerajaan dapat mengambil langkah-langkah segera untuk memastikan rakyat selamat daripada jangkitan varian baharu Covid-19 yang dikesan di beberapa buah negara.

Beliau juga pada masa yang sama, berharap kerajaan dapat segera melaksanakan langkah-langkah untuk meringankan beban kehidupan rakyat, lebih-lebih lagi dalam menghadapi suasana ekonomi yang dijangka lebih mencabar pada tahun hadapa

“Marilah kita sama-sama berdoa semoga negara kita dilindungi daripada sebarang musibah serta dapat menjalani kehidupan dalam keadaan aman, selamat dan sejahtera,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam hantaran melalui Facebooknya, hari ini.

Muhyiddin  menasihatkan supaya orang ramai sentiasa mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung cara-cara untuk menghindari jangkitan Covid-19, termasuk keperluan untuk mengambil suntikan dos penggalak.

“Jaga diri, jaga kesihatan, terutama dalam keadaan jangkitan Covid-19 masih berlaku dalam komuniti kita,” katanya.

Mengenai kos sara hidup, beliau berkata, golongan miskin semakin bertambah akibat kesempitan hidup di mana lebih 60 peratus penduduk negara ini sebenarnya tergolong dalam kumpulan miskin serta berpendapatan rendah.

“Mereka memerlukan pembelaan segera daripada kerajaan. Saya menggesa Perdana Menteri segera memberi tumpuan kepada perkara penting ini menerusi langkah yang mesti diputuskan oleh Majlis Kos Sara Hidup Kebangsaan dan dilaksanakan agensi kerajaan berkaitan, ” katanya

Muhyiddin turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2023 dan berdoa semoga rakyat di negara ini memasuki tahun baharu dalam suasana aman, damai serta ceria.

“Sempena tahun baharu 2023, saya dan keluarga mendoakan semoga anda semua diberikan kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan dalam mengejar azam serta impian masing-masing,” katanya.

Beliau percaya setiap orang sudah melalui 2022 dengan pelbagai peristiwa suka duka dan pahit manis yang pastinya menjadi kenangan serta iktibar.

“Orang kata hari semalam adalah memori, hari ini adalah realiti dan hari esok masih misteri. Begitulah kehidupan kita.

“Apa yang kita lalui itu jadikan pedoman dan pengajaran. Bersyukur atas segala kejayaan yang kita capai. Bersyukur juga atas segala dugaan yang kita hadapi kerana semua yang berlaku pasti ada hikmahnya.

“Jatuh bangun dalam hidup adalah perkara biasa. Yang penting bukan bagaimana kita jatuh, tetapi bagaimana kita mengumpul kekuatan untuk bangkit semula dan melangkah ke hadapan dengan yakin dan gagah untuk mengejar impian kita,” katanya.

Muhyiddin tahu dalam tempoh setahun dua yang lalu, ramai mengalami kesukaran hidup akibat pandemik yang melanda negara.

Katanya , masih ramai sedang bergelut dengan masalah kos sara hidup tinggi dan permasalahan lain yang membelenggu tetapi mereka  tidak boleh lemah semangat atau berputus asa.

Beliau berkata, tiba masanya untuk bingkas bangun semula dengan lebih tangkas kerana dalam tempoh pemulihan ini, peluang ada di mana-mana untuk memajukan diri dan keluarga asalkan sanggup berusaha.

“Saya sendiri sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah SWT buat diri saya dan keluarga. Perjalanan hidup saya seperti anda juga, tidaklah selalunya senang. Banyak cabaran dan dugaan dihadapi. Semua liku hidup dilalui itu sebenarnya mendewasakan kita.

“Segala kesukaran yang kita alami semalam menjadi bekalan untuk memperkuatkan semangat menghadapi hari esok dengan lebih berjaya. Apa yang penting, jangan berputus asa dalam menggapai impian kita,” katanya.

Related posts

Leave a Comment