Syarat penduduk China masuk Sabah

KOTA KINABALU 30 Dis. – Semua pengunjung dari China yang memasuki Sabah wajib menunjukkan keputusan negatif Covid-19 serta melakukan ujian Covid-19 dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas (Predeparture Test, PDT) ke negeri itu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata

langkah itu berikutan kebimbangan peningkatan kes Covid-19 di China dan pembukaan sempadan negara itu, yang mungkin menularkan wabak ke negara ini.

Katanya, kes Covid-19 di Sabah ketika ini dilihat berada pada tahap yang stabil, dengan kes harian hanya satu atau dua angka.

Hari ini, sebanyak 15 kes baharu iaitu bertambah enam kes direkodkan daripada 1,228 sampel ujian berbanding 1,251 ujian semalam dengan kadar positiviti 1.22 peratus, berbanding 0.72 peratus semalam.

Masidi berkata, sembilan daerah merekodkan jangkitan baharu, dengan tiga kes di Kota Belud dan Penampang, diikuti dua kes di Kota Kinabalu dan Sipitang serta masing-masing satu kes di Kinabatangan, Lahad Datu, Tawau, Telupid dan Tuaran.

Sebanyak 18 daerah lain tidak merekodkan sebarang kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Daripada 15 kes yang dilaporkan, 13 kes adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2, manakala masing-masing satu kes dalam Kategori 4 dan Kategori 5.

Related posts

Leave a Comment