Malaysia “Kawasan Tempatan Jangkitan” hingga 30 Jun

PUTRAJAYA 30 Dis. – Pengisytiharan Malaysia sebagai “Kawasan Tempatan Jangkitan” yang akan tamat esok, 31 Disember 2022, dilanjutkan sehingga 30 Jun 2023, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, langkah itu diambil susulan kebimbangan penularan baharu dalam negara selepas China menamatkan dasar zero-Covidnya, dan rakyat di negara itu bebas mengembara biarpun positif Covid-19.

Katanya, lanjutan pengisytiharan itu dilakukan bagi memudah cara Kementerian Kesihatan menjalankan aktiviti pencegahan dan pengawalan penularan jangkitan Covid-19 menggunakan peruntukan di bawah P.U. (A) 83/22.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata pelanjutan ini telah diwartakan pada 27 Disember 2022 melalui perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) (No.2) 2022 [P.U. (A) 397/2022].

Mengenai pengawalan penularan Covid-19 di negara ini, Dr Zaliha berkata, KKM menggariskan empat strategi utama termasuk melindungi komuniti melalui pemberian vaksin termasuk kumpulan rentan dan berisiko tinggi.

Bagi menggalakkan pengambilan vaksin dalam kalangan kumpulan yang berisiko tinggi, KKM menawarkan pemberian vaksin secara walk-in (tanpa perlu membuat janji temu terlebih dahulu) di klinik kesihatan dan hospital KKM mulai 9 Januari 2023.

“Mereka yang belum melengkapkan dos primer atau dos penggalak boleh membuat janji temu melalui MySejahtera atau menghubungi Klinik Kesihatan berhampiran,” katanya lagi.

Dr Zaliha berkata, kumpulan berisiko tinggi diletakkan di bawah tiga kategori – kes komorbiditi termasuk penyakit kronik; warga emas berusia 60 tahun ke atas; atau individu berisiko mendapat gejala teruk, dan komplikasi akibat jangkitan Covid-19.

Selain itu, rawatan ubat antiviral Paxlovid (nirmatrelvir/ritonavir) juga disediakan kepada pesakit Covid-19 mengikut garis panduan yang ditetapkan dan KKM sentiasa memastikan ketersediaan antiviral di semua fasiliti kesihatan kementerian.

KKM juga sentiasa mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respon sistem perkhidmatan kesihatan awam bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes Covid-19 di Malaysia.

Menurut Dr. Zaliha, pengukuhan pengurusan Covid-19 melalui pendigitalan dilaksanakan dengan pendekatan FTTIS (Find, Test, Trace, Isolate and Support) yang diautomasikan.

“Melalui pendekatan ini, individu yang menjalani ujian pengesanan Covid-19 kendiri boleh melaporkan keputusan ujian mereka ke dalam aplikasi MySejahtera – selain melakukan ujian tersebut di fasiliti kesihatan. Keputusan ujian akan dikemas kini dalam MySejahtera pengguna,” katanya lagi.

Dr Zaliha berkata, kes positif akan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (Home Surveillance Order; HSO) dan juga Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (Release Order; RO) secara digital dan tidak perlu hadir secara fizikal di Pejabat Kesihatan Daerah mahupun Pusat Penilaian Covid-19 (Covid-19 Assessment Center, CAC).

Related posts

Leave a Comment