LRA Sg Semenyih beroperasi semula

SEPANG 25 Dis. – Air Selangor memaklumkan bahawa bacaan tahap 0 TON sebanyak tiga kali berturut-turut telah direkodkan di Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sg Semenyih) yang membolehkan ia mula beroperasi semula.

Dalam kenyataan melalui media sosial pukul 10 pagi ini, Air Selangor memaklumkan pengoperasian semula ini melibatkan proses pembersihan dan rawatan air yang dijangka akan mengambil masa lebih kurang 12 jam.

Sejurus itu, bekalan air terawat yang bersih dan selamat akan mula diagihkan secara berperingkat kepada para pengguna di kawasan-kawasan yang terlibat.

Media semalam melaporkan LRA Sg Semenyih dihenti tugas pada pukul 2 pagi dan LRA Bukit Tampoi pada pukul 6 pagi berikutan pencemaran bau dalam aliran sungai terbabit.

Siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati, insiden berpunca daripada tumpahan cecair daripada lori yang membawa muatan pati minyak wangi terbabit kemalangan di Kilometer 44.1 arah utara, Lebuhraya Elite berdekatan Bandar Serenia iaitu sekitar enam kilometer dari sempadan Selangor.

Jarak lokasi kemalangan ini ke LRA Sungai Semenyih adalah sekitar 6.4 kilometer dan ke LRA Bukit Tampoi sekitar 18 kilometer.

Sementara itu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) terus giat menggerakkan lori tangki bagi memberikan bantuan bekalan air kepada pengguna di kawasan terjejas.

Air Selangor dalam kenyataan berkata, bantuan bekalan air diberi keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian di sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

Related posts

Leave a Comment