Kesan perkhemahan bantu penemuan 4 mayat

HULU SELANGOR 22 Dis. – Kesan perkhemahan yang menjadi petunjuk awal dan  dibantu khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) membawa kepada penemuan empat lagi mayat tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di sini pagi ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mengesan petunjuk itu pukul 10.43 pagi ketika kerja pengorekan menggunakan jentera pengaut dijalankan di Sektor C itu.

“Selepas itu, kita gunakan khidmat Unit Anjing Pengesan dan anggota SAR di lapangan untuk mengesan lokasi tepat mayat mangsa berada sebelum berjaya mengeluarkan semua empat mayat,” katanya pada sidang media di lokasi hari ini.

Pada sidang media yang sama, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, penemuan terkini pada pukul 11.04 pagi itu membabitkan empat mayat di Sektor C (Riverside) adalah pada kedalaman kira-kira tujuh meter.

“Semasa proses mengeluarkan mayat, pasukan bomba menemui empat mangsa berbalut (bergulung dengan kanvas khemah) dalam satu khemah pada kedalaman tanah sedalam tujuh meter.

“Empat mayat itu terdiri dua kanak-kanak, masing-masing seorang lelaki dan perempuan serta seorang lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa,” katanya.

Mengenai keadaan mayat itu, Suffian berkata, semua mayat ditemui dalam keadaan sempurna dan berpakaian lengkap, tetapi tubuh mereka sudah mula mereput dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan di tempat kejadian.

“Semua mangsa diperiksa pasukan Pengecam Mangsa Becana (DVI) di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk dibedah siasat dan proses pengecaman,” katanya.

Mengenai baki tiga lagi mangsa yang masih hilang, SAR sudah mengenal pasti lokasi pencarian iaitu Sektor A (Hill View) dan Sektor C (Riverside) dan pencarian akan ditumpukan di kedua-dua sektor itu.

Operasi SAR hari ini dimulakan pukul 8 pagi membabitkan 128 anggota pelbagai agensi, selain 11 jentera pengaut serta tujuh unit K9 terdiri empat anjing milik bomba, dua milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan satu milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam tragedi pukul 2.42 pagi Jumaat lalu itu, runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter berlaku di tapak perkhemahan itu yang terletak di Gohtong Jaya, di sini.

Seramai 94 mangsa terbabit dalam insiden itu dengan 61 dilaporkan selamat, manakala 30 disahkan terkorban sehingga kini dan tiga masih hilang.

Daripada 30 mangsa yang meninggal dunia, 14 adalah wanita dewasa, enam lelaki dewasa dan 10 kanak-kanak, masing-masing empat perempuan dan enam lelaki.

Related posts

Leave a Comment