Penjawat awam, pesara, rakyat dapat habuan

KUALA LUMPUR 20 Dis. – Kerajaan bersetuju untuk memberikan Kenaikan Gaji Tahunan Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam dari Gred 11 hingga 56, kata Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim.

Beliau turut mengumumkan kerajaan akan memberikan Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah sebanyak RM700 dan sejuta pesara kerajaan sebanyak RM350.

Katanya, Kerajaan Perpaduan amat berterima kasih atas kesungguhan yang tidak berbelah bahagi anggota awam dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kerajaan memang silih berganti, tetapi penjawat awam kekal setia dan dedikasi demi negara,” katanya pada pembentangan Bajet Mini di Dewan Rakyat hari ini.

Kerajaan juga akan meneruskan bantuan tunai rakyat yang dilaksanakan selama ini di mana bayaran Bantuan Tunai Rakyat Fasa 1 akan disalurkan awal iaitu pada Januari 2023 berbanding Mac pada tahun ini.

“Bayaran Fasa 1 ini akan memanfaatkan hampir 9 juta penerima dengan peruntukan 2 bilion ringgit melibatkan kadar RM300 bagi setiap isi rumah dan RM100 untuk penerima bujang.

Saya berharap, penyaluran awal ini membantu meringankan beban yang ditanggung rakyat pada waktu ini,” katanya.

Bagi golongan pekebun kecil getah pula, Anwar berkata kerajaan bercadang untuk menyalurkan Bantuan Tambahan sebanyak RM200 kepada pekebun kecil getah bagi bulan Januari ini.

Setakat ini, Kerajaan telahpun menyalurkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) bagi bulan November dan Disember dengan bantuan keseluruhan RM600 kepada hampir 320,000 pekebun kecil getah.

“Kerajaan akan terus memastikan kebajikan para pekebun kecil getah sewaktu musim tengkujuh ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment