Pengampunan inisiatif Sultan Muhammad V

KUALA LUMPUR 20 Dis. –  Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan bahawa bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, memberikan pengampunan penuh kepadanya pada 2018 kerana menganggap kes berkaitan ada ‘pelanggaran prinsip keadilan’ (travesty of justice).

Perdana Menteri berkata beliau tidak memohon pengampunan penuh itu, sebaliknya ia adalah inisiatif Sultan Muhammad V yang mengikuti perkembangan perbicaraan mengenai kes itu.

“Yang di-Pertuan Agong (ketika itu) beritahu akan beri pengampunan penuh (kepada saya) kerana baginda mengikuti perkembangan perbicaraan (ada) ‘travesty of justice’ (pelanggaran prinsip keadilan), jadi Yang di-Pertuan Agong akan beri pengampunan penuh sesegera mungkin,” katanya.

Anwar berkata demikian sebelum memulakan ucapan penuh membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata Sultan Muhammad V sendiri menelefon beliau yang ketika itu sedang mendapatkan rawatan di Pusat Rehabilitasi di Cheras berkaitan proses pengampunan penuh itu.

“Saya tidak memohon pengampunan kerana saya dihukum, ‘make it clear’ di hansard. Kita bantah penghakiman yang melanggar prinsip hukum (ketika itu), mengada-adakan termasuk dalam kes pertama, membuat pertuduhan dan peristiwa yang berlaku di bangunan yang belum ada dan memaksa orang menjadi saksi atau mengambil siasatan sebelum laporan polis dibuat.

“Saya minta maaf sebut perkara ini kerana soal pengampunan itu penting. Yang mengambil insiatif ketika itu ialah Yang di-Pertuan Agong sendiri ketika itu, baginda menelefon saya dan ini saya sebut kepada umum, semasa saya masih di pusat rehabilitasi,” katanya.

Isu pengampunan kepada Perdana Menteri pada 2018 itu dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin, dalam perbahasan usul undi percaya kepada Perdana Menteri semalam.

Anwar pada 2018 mendapat pengampunan penuh daripada Sultan Muhammad V sejurus perubahan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Anwar sebelum itu dihukum penjara lima tahun kerana meliwat pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan sabitan serta hukuman itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, beliau perlu berkongsi kisah pengampunan itu kerana ia adalah fakta yang berlaku.

Related posts

Leave a Comment