Elak Dewan Rakyat digelar sarkis – Anwar

KUALA LUMPUR 20 Dis. – Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi peringatan kepada semua Ahli Parlimen supaya menjaga tata susila dan kemuliaan Dewan Rakyat bagi mengelak ia digelar rakyat sebagai sarkis.

Beliau  berkata, walaupun boleh berbeza pendapat, ia tidak seharusnya keterlaluan kerana keadaan itu akan ditertawakan oleh rakyat yang menonton persidangan itu.

“Seperti yang kita lihat gelagat berlaku semalam, kalau bagi pihak kerajaan, saya beri jaminan dan Timbalan Perdana Menteri kedua sebagai Ketua Whip (Fadillah Yusof) sudah diminta untuk memaklumkan kepada ahli Yang Berhormat untuk menjaga susila di dewan ini dan apa pun perkembangan tidak melanggar batas adab dan susila serta menghormati peraturan dewan.

“Ini kerana kita tahu sidang Parlimen ini ditonton, kita boleh berbeza pendapat, boleh bertengkar tetapi harus jaga kemuliaan dewan ini dan tidak keterlaluan kerana ini akan ditertawakan oleh rakyat dan melihat seluruh dewan ini menjadi gelanggang seperti mana disebut dalam sosial media sebagai sarkis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memulakan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu sebelum sidang bermula, Ahli Parlimen Pendang (PN) Awang Solahuddin bangun menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan yang menggelarnya beruk.

Beliau mahu perkataan itu ditarik balik tetapi Yang Dipertua Dewan Rakyat,  Johari Abdul berkata beliau tidak jelas dengan perkataan  tersebut tetapi memberi jaminan akan  menyemak hansard Parlimen sebelum membuat keputusan.

Semalam, Mohd Sany, muka baharu yang menang pada pilihan raya umum lalu berang apabila beliau bangun memekik “ Hei hang Pendang apa, hang beruk, Pendang beruk, Pendang beruk, Pendang beruk”,.

Mohd Sany berang apabila terdengar Ahli Parlimen Pendang itu berkata “Kami tidak jadi kera lah, Hulu Langat.”

Berikutan kenyataan itu, Awang Solahuddin meminta Mohd Sany menarik balik perkataan tersebut.

Related posts

Leave a Comment