GAZA: Kira-kira 50,000 wanita hamil di Semenanjung Gaza tidak memperoleh akses perkhidmatan kesihatan asas berikutan pergolakan yang sedang berlaku
Menurut Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), kira-kira 5,500 yang dijangka bersalin bulan ini, bergelut untuk mendapatkan khidmat jagaan kesihatan.
Wakil UNFPA untuk Palestin, Dominic Allen, berkata sistem jagaan kesihatan di Gaza kini diambang kemusnahan.
“Bayangkan kesukaran yang mereka lalui dalam peringkat akhir untuk bersalin, dengan kemungkinan komplikasi, tanpa pakaian, kebersihan, sokongan dan tiada kepastian mengenai keadaan mereka dan anak yang bakal lahir,” kata Allen.
Menurut Allen, ada segelintir bidan tidak dapat datang ke wad bersalin di hospital untuk bertugas, berikutan keadaan berbahaya.
Justeru beliau menggesa supaya akses kepada bantuan dan bekalan kemanusiaan di kawasan itu dipermudah.
