Ahli MKT UMNO berkampung di Nenggiri

KUALA LUMPUR 31 Julai –  Seluruh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan berkampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadualkan berlangsung pasda 17 Ogos depan.

Setiausaha Agung UMNO,  Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Ahli MKT UMNO akan  menyelaras gerak kerja jentera parti dan Barisan Nasional (BN) di setiap Pusat Daerah Mengundi di N43 DUN Nenggiri bermula hari penamaan calon Sabtu ini.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mesyuarat MKT parti itu, malam ini.

Mesyuarat juga memutuskan akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia,  Muhamad Jailani Khamis bagi menuntut ganti rugi dan pampasan sebanyak RM100 juta.

“Ia sebagaimana perjanjian yang dimeterai terhadap wakil rakyat yang sudah meninggalkan dan membelakangi pendirian parti,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan mengumumkan Muhamad Jailani yang sebelum ini digantung keahlian dalam UMNO, sah menyertai Pas berkuat kuasa Jun tahun lalu.

Muhamad Jailani menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) atas tiket PKR dan beliau adalah antara empat ADUN Pakatan Harapan (PH) yang melompat menyokong BN bagi mengambil alih pentadbiran negeri pada Mac 2020.

Beliau dikatakan dipecat PKR, sebelum mengumumkan menyertai UMNO bagi membolehkan dipilih bertanding semula mewakili BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November 2021.

Mesyuarat MKT hari ini turut mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan secara kejam ke atas bekas Perdana Menteri, Ismail Haniyeh di Tehran, Iran.

“Pembunuhan pimpinan tertinggi Hamas yang memainkan peranan utama dalam usaha genjatan senjata demi keamanan di Gaza ini membuktikan kebaculan dan kegilaan zionis Israel yang berterusan melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin.

“UMNO bertekad untuk terus mendokong perjuangan pembebasan Palestin dan sentiasa bersama dengan saudara kami di kalangan Hamas, Fatah serta seluruh rakyat Palestin yang sekian lama ditindas,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment