Operasi SAR diteruskan 24 jam

HULU SELANGOR 16 Dis. – Misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang masih tertimbus dalam runtuhan cerun di tapak perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik, Father’s Organic Farm di Goh Tong Jaya, akan diteruskan selama 24 jam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor,  Norazam Khamis, berkata tumpuan diberikan kepada sektor B dan C dan misi akan dihentikan sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan.

Beliau mengakui pasukan penyelamat berdepan kesukaran susulan keadaan mangsa yang dipercayai tertimbus pada kedalaman kira-kira 1.2 meter (m), selain kedudukan mereka teralih berikutan gelongsoran tanah.

Katanya, sejumlah 16 mangsa yang maut ditemui di sektor A, manakala tiga lagi di sektor C, selain menjangkakan baki mangsa yang masih tertimbus berada di sektor B dan C.

Sektor A bagi misi SAR berkenaan terletak di kem Hillview, manakala sektor B di kem Farmview dan sektor C pula berhampiran kem Riverside.

“Setakat ini masih ada runtuhan susulan di sektor A antara  7 hingga 9 pagi tadi, namun sekarang sudah stabil dan kita sentiasa dalam keadaan waspada kerana terdapat aliran air di kawasan runtuhan.

Kita juga masih meneliti pergerakan tanah dan akan meminta pasukan penyelamat menghentikan misi jika berlaku sebarang insiden atau aktiviti geologi di kawasan pencarian,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Related posts

Leave a Comment