10 Exco Pahang terima portfolio

KUANTAN 14 Dis. – Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail akan memegang portfolio Perancangan, Kewangan, Tanah, Sumber Asli, Tenaga dan Air serta portfolio Pembangunan Ekonomi, Perladangan dan Komoditi.

Beliau yang mengumumkan portfolio 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco)  hari ini berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak memegang portfolio Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan.

Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang juga ADUN Kerdau memegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam,Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli.

ADUN Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff memegang portfolio Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan.

Razali Kassim yang juga ADUN Muadzam Shah memenang portfolio FELDA, Koperasi dan Usahawan manakala ADUN Pelangai, Datuk Seri Johari Harun memegang portfolio Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau.

ADUN Peramu Jaya, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib memegang portfolio Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi dan ADUN Guai, Datuk Sabariah Saidan memegang portfolio Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga.

ADUN Dong, Fadzli Mohamad Kamal pula memegang portfolio Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan.

Sim Chon Siang yang juga ADUN Teruntum memegang portfolio Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia manakala ADUN Triang, Leong Yu Man memegang portfolio Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan.

Wan Rosdy pada sidang media di Wisma Sri Pahang, di sini berharap 10 Exco mengetepikan sentimen politik dan perbezaan ideologi masing-masing.

Katanya, kerjasama dapat dilakukan sebagai satu pasukan yang mantap bagi memastikan segala agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat dapat terus dilaksanakan dengan cemerlang.

“Laksanakanlah setiap tugas yang diberikan ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah agar hasrat untuk menjadikan Pahang sebagai sebuah negeri maju akan tercapai.

“Selain itu, saya mengharapkan rakyat Pahang juga dapat memberi kepercayaan dan sokongan kepada kerajaan negeri yang baharu dibentuk ini demi kestabilan dan kemakmuran negeri,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Barisan Nasional (BN) memperoleh 17 kerusi daripada 42 kerusi DUN Pahang dan Pakatan Harapan (PH) memperoleh lapan kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) pula memperoleh 17 kerusi.

Berikutan itu, tiada parti memperoleh majoriti mudah dan ini mendorong gabungan BN dan PH membentuk kerajaan negeri.

(Foto FB Kerajaan Pahang)

Related posts

Leave a Comment