Kontena sisa buangan diarah pulang ke AS

BUTTERWORTH: Sebuah kontena membawa 21.3 tan muatan sisa buangan elektrik dan elektronik (e waste) dari Amerika Syarikat, yang masuk melalui Pangkalan Kontena Utara Butterworth (NBCT), di sini, diarah pulang ke negara asal.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengarahkan demikian berikutan sisa buangan itu dipercayai ingin dilupuskan secara haram di negara ini.

Sisa buangan itu terdiri daripada buangan sekerap membabitkan papan litar bercetak (PCB), pemacu cakera dalaman, unit pemprosesan pusat (CPU) komputer dan lain-lain komponen elektronik.

Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata pihaknya membongkar kegiatan itu selepas menjalankan pemeriksaan bersama Unit Koordinasi Pengurusan Sempadan (CBM) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di pangkalan terbabit, hari ini sebelum mengeluarkan notis arahan kepada pengimport.

Turut serta dalam pemeriksaan itu adalah SIRIM QAS International Berhad Pulau Pinang dan Pegawai Pelabuhan NBCT.

“Kontena ini asalnya ditahan selepas disyaki membuat pengisytiharan (manifest) tidak benar, yang mana ia diikrar sebagai aloi aluminium bagi mengelirukan pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati ia sisa buangan e waste, yang dipercayai ingin dilupuskan secara haram di negara ini,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sharifah Zakiah berkata, satu notis arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta kualiti Alam Sekeliling 1974 dikeluarkan kepada pengimport untuk pemulangan kontena terbabit ke negara asal.

Beliau berkata, pengimport boleh dikenakan tindakan mahkamah mengikut Seksyen 34B serta Seksyen 31 dan 37 bagi kesalahan gagal mematuhi notis, jika mengingkari arahan yang dikeluarkan.

Katanya, pengimportan haram e waste dari luar negara adalah menyalahi undang-undang dan konvensyen antarabangsa iaitu Konvensyen Basel.

“Pelupusan serta pemprosesan secara haram boleh memberikan implikasi negatif kepada alam sekitar dan kesihatan, terutama apabila majoritinya mungkin dihantar ke premis tidak berlesen atau lebih buruk jika dilupus secara dibakar atau ditanam.

“Selain itu, pemprosesan secara haram tanpa alat kawalan boleh menyebabkan pelepasan bahan kimia berbahaya, termasuk logam berat yang mencemar tanah, air dan udara,” katanya.

Beliau berkata, sisa e waste yang dihasilkan di negara ini dihantar dan diproses hanya di premis yang dilesenkan oleh JAS.

Related posts

Leave a Comment