KKOMM Kementerian Komunikasi dan Digital

PUTRAJAYA 7 Dis. – Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memutuskan bahawa aspek seni dan budaya bukan di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital, kata Menterinya, Fahmi Fadzil.

“Saya serahkan kepada menteri berkenaan untuk buat pengumuman,” katanya pada sidang media di kementeriannya, hari ini.

Beliau juga memaklumkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKOMM) kini dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Digital dan disahkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

“Saya ingin maklumkan secara rasminya bahawa nama kementerian ini ialah Kementerian Komunikasi dan Digital, The Ministry of Communications and Digital. Ini disahkan oleh KSN pada pagi tadi,” katanya.

Mengulas mesyuarat Kabinet pagi tadi, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, mesyuarat berjalan dengan suasana yang sangat positif dan produktif.

“Mulanya, saya jangkakan mungkin tempoh mesyuarat itu lama tetapi Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) nampaknya ingin kita semua bekerja dengan pantas, banyak tugas yang perlu dilaksana,” katanya.

Beliau berkata, antara isu tumpuan adalah berkaitan kos sara hidup, urus tadbir yang lebih baik dan juga meneliti masalah ketirisan dan aspek penjimatan yang boleh dilakukan.

“Perdana Menteri juga sudah arah semua menteri potong gaji 20 peratus tapi lebih daripada itu, beliau mahu menteri untuk tumpukan kepada tugas terutama memastikan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment