Kabinet kalut,tidak menentu – Hamzah

LARUT 3 Dis. – “Kabinet kalut, tidak menentu dan tiada keikhlasan,” kata Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Hamzah Zainudin ketika mengulas barisan Jemaah Menteri yang diumumkan Anwar Ibrahim malam tadi.

Hamzah berkata, pengumuman Anwar mengenai barisan menteri lantikannya jelas membuktikan apa yang dijanjikan PH dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) lalu hanya untuk mencari undi dan kini tidak menunaikan janji

“Dulu yang difikirkan lain, tapi lain pula yang dibuatnya. Saya kasihan, yang kalah dilantik, tapi yang menang tak dilantik, sebab itu saya kata ini ‘Kabinet kalut’,”

kata Setiausaha Agung Bersatu itu pada sidang media selepas Majlis Kesyukuran Parlimen Larut di Tapak Bazar Ramadan, disini hari ini.

Ahli Parlimen Larut itu bagaimanapun tetap menzahirkan ucapan tahniah kepada Anwar serta barisan Kabinet baharu, termasuk enam wakil dari Perak yang dilantik menjadi menteri yang disifatkannya perkara yang baik.

“Sebagai orang Perak, kita seharusnya mengucapkan tahniah kepada Anwar. Orang UMNO pula sepatutnya mengangkat beliau sebagai hero kerana beliau dari Pulau Pinang datang ke Perak dan mengangkat Perak ke tahap ini,” katanya.

Hamzah berkata, PN berikrar untuk menjadi pembangkang yang telus dan sentiasa memperjuangkan nasib rakyat serta menentukan negara ini dibawa ke arah yang lebih baik di masa depan.

“Kita akan menjadi  pembangkang yang sentiasa melihat segala kemungkaran yang berlaku akan kita perjuangkan demi rakyat. Kita bertanggungjawab bukan hanya untuk memegang jawatan supaya rakyat memahami perjuangan kita, ” katanya.

Related posts

Leave a Comment