Pemimpin ketuai lafaz ikrar Rukun Negara

KUALA LUMPUR 30 Nov. – Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, mencadangkan agar lafaz ikrar Rukun Negara terus dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam majlis-majlis yang bersesuaian.

Titah baginda, lafaz ikrar ini juga hendaklah diketuai oleh para pemimpin yang dilantik dan bukan lagi dalam kalangan belia yang bersuara lantang.

“Ini akan membuktikan bahawa kerajaan serius dalam menjadikan Rukun Negara sebagai asas dan panduan rakyat Malaysia,” titah baginda pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-260 di Istana Negara, yang berakhir hari ini.

Mesyuarat dua hari itu bermula semalam yang turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Berangkat sama, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin serta Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Sementara Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, manakala Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra.

Mesyuarat itu juga turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani turut sama hadir mesyuarat itu.

Tuanku Muhriz juga menyeru kerajaan baharu agar mendukung dan memperkukuhkan prinsip-prinsip Rukun Negara yang telah diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-4 pada tahun 1970.

“Semangat dan nilai-nilai prinsip Rukun Negara seharusnya menjadi amalan serta pegangan semua rakyat dan bukan sekadar tulisan dalam bahan bacaan sahaja,” titah baginda.

Baginda turut memetik dua daripada lima prinsip Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.

Kedua-dua prinsip itu menurut baginda amat penting untuk memastikan agensi-agensi penguatkuasaan dan Badan Kehakiman bebas daripada sebarang pengaruh luar dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Related posts

Leave a Comment