Henti bangkit isu perkauman

KUALA LUMPUR 30 Nov. –  Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menitahkan agar tiada lagi pemimpin di negara ini  membangkitkan isu perkauman atau agama dengan tujuan menghasut masyarakat.

Tuanku Muhriz turut menitahkan agar kerajaan baharu yang dibentuk pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, menggunakan peluang yang ada sebaik-baiknya untuk memacu negara ke tahap yang lebih tinggi.

“Beta menyeru kerajaan baharu untuk memupuk semangat kebersamaan atau spirit of togetherness di kalangan rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai agama, bangsa dan budaya,” titah baginda dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-260 di Istana Negara, yang berakhir hari ini.

Tuanku Muhriz turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua calon yang memenangi kerusi masing-masing pada PRU15 dan pilihan raya di beberapa buah negeri yang terbabit pada 19 November lalu.

“Beta juga mengucapkan tahniah kepada mereka yang baru dilantik untuk menyandang jawatan dalam kerajaan iaitu Perdana Menteri dan Menteri Besar-Menteri Besar negeri yang berkenaan.

“Jawatan-jawatan yang membawa tanggungjawab yang besar ini memberi peluang kepada mereka yang dilantik untuk memimpin negara ke hadapan,” titah baginda.

Turut berangkat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Berangkat sama, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin serta Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Sementara Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, manakala Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra.

Mesyuarat itu juga turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani turut sama hadir mesyuarat itu.

Related posts

Leave a Comment