Telur kurang tiada kaitan PRU

PUTRAJAYA 29 Nov. – Tidak ada asas kukuh mengaitkan bekalan telur disorok,  kemudian dilambakkan dalam pasaran kerana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)  Azman Mohd Yusof

Katanya, bekalan telur masih belum stabil sepenuhnya dan tinjauan dan pemeriksaan mendapati beberapa negeri masih berdepan masalah bekalan.

“Dakwaan bekalan sudah pulih adalah tidak berasas. Kita teruskan pemantauan, saya sudah minta pengarah negeri keluarkan data semasa hasil pemeriksaan mereka di lapangan, telur cukup atau tidak cukup.

“Kalau tidak cukup bekalan, kita akan hubungi pengeluar bagi mengetahui kenapa berlaku kekurangan bekalan dan minta mereka hantar segera bekalan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Azman berkata, sebelum ini, pengusaha di peringkat ladang ada membangkitkan isu kos pengeluaran yang tinggi, namun pihaknya tidak nampak masalah kekurangan bekalan berlaku kerana mereka sudah diberi subsidi bagi telur Gred A, B dan C.

Kita seimbangkan keperluan mereka dengan pemberian subsidi, daripada dua sen kepada lima sen dan sekarang sudah naik sehingga 10 sen.

Beliau juga menjelaskan masalah kekurangan bekalan kadang-kadang bukan sebab kos pengeluaran semata-mata, tetapi ada punca lain seperti cuaca, banjir, penyakit dan sebagainya.

Mengenai aduan pengguna berkenaan harga telur dijual sehingga RM18 satu papan, beliau berkata, KPDNHEP mahu pengguna melaporkan segera perkara itu kepada penguat kuasa berikutan telur gred A, B, C di pasaran terikat pada harga kawalan.

“Pengguna perlu melaporkan aduan secara terperinci supaya tindakan segera boleh diambil. Kami tidak mempunyai kekuatan untuk memeriksa semua kedai atau pasar raya seluruh negara,” katanya.

Berhubung dakwaan ada telur busuk dan rosak dijual di pasaran, Azman berkata, beliau turut menerima aduan, namun tiada bukti diperoleh selepas pemeriksaan dijalankan.

Related posts

Leave a Comment