SEPANG 11 Sept. – Sebuah lagi pesawat Penerbangan Malaysia Airlines terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal petang ini dipercayai disebabkan masalah teknikal.
Pesawat MH853 itu dalam penerbangan menuju Denpasar, Bali yang berlepas dari KLIA pukul 3.30 petang sebelum berlegar di ruang udara Selat Melaka pada ketinggian 8,000 kaki.
Menurut laman web FlightRadar24, pesawat Boeing 737-800 itu kemudian berpatah balik ke KLIA sejam setengah kemudian kira-kira pukul 5 petang.
Punca di sebalik pesawat itu berpatah balik bagaimanapun belum dapat disahkan.
Untuk rekod pada 4 Ogos, sebuah pesawat Malaysia Airlines MH156 yang dalam perjalanan ke Jeddah, bersama 250 jemaah umrah, berpatah balik ke Terminal 1 KLIA, disebabkan masalah teknikal.
Pada 1 September, sebuah lagi pesawat MH66 ke Seoul, Korea Selatan dipercayai mengalami masalah teknikal berpatah balik selepas berlepas pada pukul 11.50 malam dan mendarat di KLIA pada pukul 12.34 pagi.
(Foto hiasan)
