Jokowi terima dos vaksin tempatan

JAKARTA 25 Nov. – Presiden Joko Widodo menerima suntikan vaksin penggalak Covid-19 kedua hasil keluaran tempatan, IndoVac di kediaman presiden di Bogor semalam, Khamis.

Vaksin yang dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal milik kerajaan Bio Farma dan Baylor College of Medicine yang berpangkalan di Texas mendapat kelulusan agensi makanan dan ubat Indonesia untuk kegunaan kecemasan pada 28 September.

Jokowi menggesa orang ramai terutamanya petugas kesihatan dan warga emas untuk mendapatkan suntikan bagi mewujudkan imuniti kelompok dan mencegah penularan virus.

Dalam catatan Facebooknya, Jokowi berkata, Indonesia telah menyuntik 205 juta dos vaksin Covid-19 pertama, 172 juta dos vaksin kedua, 66 juta dos pertama vaksin penggalak, dan 730,000 dos vaksin penggalak kedua.

“Vaksin booster ini penting untuk meningkatkan imuniti dan mencegah penyebaran Covid-19.

“Saya sendiri pagi ini (semalam) di Istana Bogor, menerima vaksin Covid-19 booster kedua. Kali ini saya menggunakan vaksin IndoVac, pengeluaran domestik. Vaksin IndoVac terbukti berkesan mencegah jangkitan Covid-19.

“Saya menyeru seluruh elemen masyarakat untuk divaksin sepenuhnya terhadap Covid-19 dengan tambahan dos atau penggalak,” katanya.

Pasukan Petugas Pengendalian Covid-19 negara melaporkan 7,221 kes baharu direkodkan pada Rabu, menjadikan jumlah keseluruhan kes di seluruh nusantara mencecah 6.63 juta.

Sekurang-kurangnya 51 orang meninggal dunia akibat wabak berkenaan, menjadikan jumlah kematian setakat ini 159,524 dan jumlah pesakit yang pulih meningkat kepada 6.40 juta.

Data menunjukkan 84 peratus kematian atau 74 peratus individu yang dirawat di hospital yang mengalami simptom sederhana dan teruk tidak mendapatkan suntikan vaksin, kata Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin.

Related posts

Leave a Comment