Raja-raja Melayu bincang kemelut PM10

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Satu perbincangan khas Raja-Raja Melayu akan diadakan di Istana Negara esok sebagai usaha Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merungkai kemelut pembentukan kerajaan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadli Shamsuddin, berkata perbincangan itu bagi membolehkan Al-Sultan Abdullah mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu dalam membuat keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri ke-10.

Katanya, perbincangan dengan Raja-Raja Melayu itu diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap wakil pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pagi tadi.

Proses selanjutnya susulan daripada sesi menghadap hari ini, Seri Paduka Baginda telah menitah perkenan untuk Istana Negara menganjurkan satu Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara esok, Khamis, 24 September 2022.

Ia selepas Al-Sultan Abdullah menitahkan supaya 30 Ahli Parlimen BN menghadap baginda pada jam 10.30 pagi hari ini, namun mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi memutuskan memohon penangguhan kedua daripada Istana Negara untuk sesi menghadap semua Ahli Parlimen berkenaan.

Petang semalam, baginda mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH),  Anwar Ibrahim dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas kedua-duanya gagal menerima sokongan majoriti mudah 112 Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadli memaklumkan, semua proses yang dilaksanakan Al-Sultan Abdullah dalam memilih Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), adalah selaras Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, segala tindakan itu bertujuan supaya Yang di-Pertuan Agong dapat membuat keputusan melantik seorang Ahli Dewan Rakyat, yang pada hemat baginda, mungkin mendapat kepercayaan majoriti sebagai Perdana Menteri.

Pada masa sama, kata Ahmad Fadli, Al-Sultan Abdullah menyeru seluruh rakyat dan semua pihak kekal bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu selesai.

“Rakyat telah membuat keputusan untuk memilih wakil mereka. Maka, terserah pada wakil rakyat untuk mencari penyelesaian bagi merungkai kemelut yang membelenggu rakyat jelata.

“Seri Paduka Baginda mengajak seluruh rakyat untuk bersama mendoakan kesejahteraan negara yang tercinta ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment