21,173,638 mengundi hari ini

PUTRAJAYA 19 Nov. – Lebih 20 juta pemilih berdaftar akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini bagi memilih wakil rakyat kawasan masing-masing untuk tempoh lima tahun akan datang.

Turut diadakan serentak ialah pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah yang tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan Covid-19.

Bagaimanapun hanya tiga Negeri mengadakan PRU bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Perlis, Perak dan Pahang manakala Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman ditangguhkan akibat kematian calon.

Pusat mengundi di Semenanjung Malaysia akan dibuka bermula 8 pagi manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan bermula 7.30 pagi.

Mengikut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pusat mengundi di Semenanjung Malaysia akan ditutup secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 6 petang.

Ada juga pusat mengundi akan ditutup lebih awal antaranya Balai Raya Pulau Besar di dalam daerah mengundi Pulau Besar di Johor yang hanya mempunyai satu tempat mengundi, akan ditutup pada 11 pagi.

Di Sabah, Sarawak dan Labuan pula pusat mengundi akan ditutup antara 11 pagi hingga 5.30 petang.

Berdasarkan kenyataan SPR pada 20 Oktober lepas, sebanyak 8,958 pusat mengundi biasa yang mengandungi 38,348 tempat mengundi akan dibuka di seluruh negara untuk PRU15.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan untuk PRU15 mengandungi seramai 21,173,638 orang pemilih yang terdiri daripada 20,853,681 orang pengundi biasa, 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan dan 2,741 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Sejumlah 1,393,549 juta pengundi berusia antara 18 hingga 20 tahun akan mengundi buat kali pertama pada PRU15 ini susulan pelaksanaan Undi18.

Pengundian awal berlangsung pada Selasa lepas yang menyaksikan 94.72 peratus atau 212,961 pengundi melibatkan anggota keselamatan dan pasangan melaksanakan tanggungjawab mereka.

Berikutan pilihan raya Parlimen Padang Serai diadakan berasingan, seramai 939 calon akan bertanding hari ini bagi merebut 221 kerusi Parlimen.

Karupaiya, 69, sepatutnya menghadapi saingan enam penjuru menentang lima lagi calon iaitu Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Datuk C. Sivaraajh (Barisan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (Warisan), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional) dan calon Bebas Sreanandha Rao pada PRU15.

Sementara itu, seramai 441 calon akan bersaing untuk merebut 117 kerusi DUN di Perak, Pahang, Perlis dan kerusi N66 Bugaya, Sabah.

Related posts

Leave a Comment