PRU15 mengenai masa depan negara

KUALA LUMPUR 15 Nov. – Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 adalah mengenai masa depan negara,  untuk mengembalikan kerajaan yang berwibawa dan bukan untuk mana-mana pemimpin, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, matlamat itu hanya boleh menjadi kenyataan dengan kesepakatan,  sehati sejiwa memasang tekad mengundi BN.

“Pemimpin datang dan pergi, tetapi andalah penyokong BN yang akan menentukan kelangsungan parti ini. Ingatlah setiap undi anda beri kepada Pakatan Harapan (PH), anda memberi undi kepada DAP untuk kembali.

“Ingatlah setiap undi anda berikan untuk Perikatan Nasional (PN), sekadar membazirkan undi yang seharusnya untuk kemenangan BN,” katanya dalam satu Warkah Buat Penyokong BN yang dikongsikan di Facebook malam ini.

Presiden UMNO itu mengingatkan, setiap undi yang diberi kepada PN, hanya akan memanfaatkan PH dan DAP, malah peluang PH dan DAP kembali memerintah negara.

“Jika anda tidak mahu melihat kerajaan gagal kembali menguasai negara bersama kita tentukan kemenangan BN. Pastikan undi kita tidak berpecah dengan memahami BN sebagai sebuah gabungan yang wajib dimenangkan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, realitinya BN tewas pada PRU ke-14 lalu bukanlah kerana lawan BN kuat selain undi penyokong mereka yang mengalahkan BN sebaliknya

segelintir penyokong BN mengundi lawan pada 9 Mei 2018.

“Sebilangan penyokong BN tidak keluar mengundi di saat BN amat memerlukan.

Merekalah rakan-rakan kita yang turut terpedaya dengan propaganda musuh terhadap pimpinan BN ketika itu.

Selepas menyedari tertipu, ia sudah terlambat kerana negara sudah pun dikuasai oleh sebuah kerajaan gagal, kerajaan yang terbentuk atas tipu daya dan tujuannya cumalah untuk ‘menamatkan’ BN serta pemimpinnya.

“Mengenakan pertuduhan politik ke atas pemimpin yang setia, manakala yang ‘melompat’ terlepas penganiayaan.

Katanya, kerajaan gagal mengabaikan khidmat mengakibatkan kerosakan menghakis segenap kestabilan dan kemakmuran.

“Kerajaan tiada keberkatan itu namun tumbang dengan sendirinya angkara perebutan kuasa sesama mereka. Lalu tertubuh parti serpihan PN dan Gerakan Tanah Air (GTA) yang tak sama tapi serupa,” katanya.

Hakikat kini kata beliau lawan sedang mengusahakan untuk memperdaya penyokong BN sekali lagi, bertujuan memecah-belahkan kemuafakatan keluarga BN dengan membisikkan hasutan ke sanubari.

“Mengadu-domba mengenai pemimpin BN supaya sebilangan kita terpedaya dengan muslihat mereka kali kedua. Mereka juga tahu mereka sejak dulu tidak mampu untuk mengalahkan BN dengan kekuatan sendiri.

“Satu-satunya cara dengan memanipulasi serta melemahkan kekuatan BN. Kekuatan BN iaitu dokongan, kesetiaan dan keyakinan para jutaan penyokongnya di serata tanah air. Musuh BN mengerti jika pengundi BN tidak berpadu seperti PRU14, maka mereka masih berpeluang menang,” katanya.

Katanya, kerana itu jugalah, PN diwujudkan dengan tujuan memecah-belah melemahkan kemuafakatan penyokong BN.

Justeru menjelang 19 November 2022 beliau menyeru semua pengundi BN keluar beramai-ramai mengundi BN, dan jangan ada penyokong BN terkhilaf lagi kerana PRU15 penentu masa depan negara.

Related posts

Leave a Comment