8 kematian 2,521 kes baharu Covid-19

PUTRAJAYA 8 Nov. – Kes jangkitan harian baharu Covid-19 di negara ini mencatatkan penurunan dengan 2,521 kes dilaporkan setakat malam tadi, berbanding 3,913 kes sehari sebelumnya.

Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman sesawang KKMNOW, sebanyak 2,519 kes membabitkan penularan tempatan manakala dua lagi kes import.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan 4,929, 972 kes iaitu 4,892,581 kes tempatan dan 38,391 sejak Covid-19 mula dikesan pada Januari 2020.

Bagaimanapun, lapan kematian direkodkan dengan dua daripadanya adalah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Setakat tengah malam tadi, statistik kematian adalah sebanyak 36,495 dengan 7,767 adalah BID.

Selain itu, sebanyak 2,182 kes aktif dilaporkan menjadikan keseluruhan kes aktif sebanyak 34,534 kes dengan 32,766 atau 94.9 peratus menjalani isolasi di rumah dan 73 berada di wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sebanyak 47 individu memerlukan bantuan pernafasan, manakala tiada kes dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Penggunaan katil ICU juga berada pada paras 61.2 peratus.

Sementara itu, seramai 87 individu mendapatkan suntikan dos utama vaksin Covid-19 semalam, manakala 270 mendapatkan dos penggalak pertama dan 2,231 lagi mendapatkan dos penggalak kedua.

Related posts

Leave a Comment