NEW YORK – Deklarasi New York diluluskan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) PBB bagi menghidupkan semula penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin, tanpa pembabitan Hamas.
Ia diluluskan dengan 142 undi menyokong, 10 menentang iaitu Israel dan sekutu utamanya, Amerika Syarikat (AS), Argentina, Hungary, Micronesia, Nauru, Palau, Papua New Guinea, Paraguay dan Tonga manakala 12 berkecuali.
Ia dengan jelas mengecam Hamas dan menuntut kumpulan berkenaan menyerahkan senjata.
Israel sebelum ini mengkritik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selama hampir dua tahun kerana enggan mengecam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Deklarasi yang dibentangkan Perancis dan Arab Saudi, secara rasmi dinamakan Deklarasi New York Mengenai Penyelesaian Secara Aman Isu Palestin dan Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara.
Ia menyatakan bahawa ‘Hamas mesti membebaskan semua tebusan’ serta menegaskan UNGA ‘mengecam serangan Hamas terhadap orang awam pada 7 Oktober’.
Deklarasi itu turut menggesa tindakan bersama bagi menamatkan perang di Gaza serta mencapai penyelesaian yang adil, aman dan berkekalan dalam konflik Israel-Palestin berdasarkan pelaksanaan berkesan penyelesaian dua negara.
Deklarasi itu, yang sudah pun disokong Liga Arab dan ditandatangani bersama pada Julai oleh 17 negara anggota PBB termasuk beberapa negara Arab, turut menegaskan usaha menyingkirkan Hamas daripada kepimpinan di Gaza.
“Dalam konteks menamatkan perang di Gaza, Hamas mesti menamatkan pemerintahannya di Gaza dan menyerahkan senjata kepada Pihak Berkuasa Palestin )PA) dengan pembabitan serta sokongan antarabangsa.
“Ini selaras dengan matlamat membentuk sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka,” menurut deklarasi itu.
Naib Presiden Palestin, Hussein al-Sheikh, menyambut baik keputusan itu dengan menyatakan ia ‘mencerminkan kesediaan antarabangsa untuk menyokong hak rakyat serta menjadi langkah penting ke arah menamatkan pendudukan dan mencapai status negara merdeka’.
Manakala jurucakap Kementerian Luar Israel, Oren Marmorstein, pula mengecam keputusan itu dan dalam catatan di X menyifatkan Israel ‘sama sekali menolak’ deklarasi itu dan menyifatkannya bukti UNGA telah menjadi ‘sarkas politik yang terpisah daripada kenyatan’.
Undian berlangsung menjelang sidang kemuncak PBB pada 22 September di New York yang akan dipengerusikan bersama Riyadh dan Paris, di mana Presiden Perancis Emmanuel Macron, berjanji untuk secara rasmi mengiktiraf negara Palestin.
Selain Macron, beberapa lagi pemimpin dunia turut menyatakan hasrat untuk secara rasmi mengiktiraf negara Palestin ketika sidang kemuncak berkenaan.
Deklarasi New York itu turut membincangkan kemungkinan ‘penempatan misi penstabilan antarabangsa sementara’ di wilayah yang musnah, di bawah mandat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) bagi menyokong penduduk awam Palestin.
Sekitar 75 peratus daripada 193 negara anggota PBB mengiktiraf negara Palestin yang diisytiharkan pada 1988 oleh kepimpinan Palestin di luar negara.
