Ustaz Kazim dilarang mengajar di Pulau Pinang

TANJONG 4 Nov. – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menamakan 16 individu termasuk pendakwah bebas, Ustaz Mohd Kazim Elias yang didapati tidak memiliki tauliah mengajar daripada MAINPP.

Melalui satu pekeliling yang dikeluarkan, turut tersenarai adalah Ahmad Husam Baderudin, Ahmad Dusuki Abdul Rani, Yusni Mat Piah, Dr Abdullah Yassin Prof Madya Dr Muhamad Rozaimi Ramle, Salman Ali, Maulana Fakhrurrazi.

Mohd Rizal Azizan dan Halim Hassan, Aiman Subri, Afnan Hamimi Taib Azamudden, Shaharudin Ibrahim, Wan Hizam Abdullah Sabil, Shahrir Long dan Sobri Arshad.

Yang Dipertua MAINPP, Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman, berkata pihak penganjur dilarang menjemput individu terbabit untuk menyampaikan ceramah, khutbah atau majlis ilmu atas sebab ketiadaan tauliah mengajar yang dikeluarkan MAINPP.

Katanya, pematuhan peraturan itu membabitkan jemputan seperti ceramah, seminar, syarahan, khutbah di masjid dan surau serta institusi di seluruh Pulau Pinang.

“Pihak pentadbiran MAINPP menerima aduan daripada orang awam dan mendapati bahawa 16 penama itu tidak memiliki tauliah mengajar daripada MAINPP.

“Tujuan larangan ini dikuatkuasakan bagi memastikan semua penceramah menghormati dan mematuhi kehendak perundangan syariah berhubung pentauliahan.

“Ia juga bertujuan memastikan penceramah selayaknya menyampaikan ilmu menyatupadukan dan tidak menimbulkan kekeliruan serta perselisihan pandangan yang boleh menjejaskan keharmonian sesama masjid dan ahli kariah,” katanya dalam surat pekeliling itu.

Keingkaran mematuhi perkara berkenaan boleh mendatangkan implikasi kepada penceramah mengikut Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang (EKJSNPP) 1996 dan Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Penganjur pula boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali kerana melanggar Seksyen 43 (Penyubahatan) yang dibaca bersama Seksyen 11 EKJSNPP 1996 iaitu bersubahat menganjurkan program membabitkan penceramah tanpa tauliah.

Related posts

Leave a Comment