Tol : baru saja ‘top up’ dah habis.

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Pengerusi Penasihat PKR,  Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Pakatan Harapan (PH) perlu memansuhkan tol di Lebuhraya Utara-Selatan kerana ia adalah isu rakyat.

“Saya tidak ada dalam jawatankuasa itu, tapi salah satu kita rasakan (perlu), saya sendiri pun terasa dengan tol ini, baru saja ‘top up’ (tambah nilai) dah habis.

“Bukan saja tol, pendapatan kita tidak meningkat tapi barang keperluan, makanan dan perbelanjaan meningkat. Ini satu isu yang patut ditangani bersama,” katanya ditemui media selepas melawat empat keluarga di Flat Sri Kota, Bandar Tun Razak di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng semalam bahawa PH akan meneruskan janji memansuhkan tol di Lebuhraya Utara-Selatan jika memenangi PRU15.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, semasa menerajui kerajaan selama 22 bulan selepas menang PRU14 pada 2018, PH telah mengurangkan bayaran tol untuk lebuh raya itu sebanyak 18 peratus.

Mengulas dakwaan PH terus mengamalkan nepotisme dan kronisme kerana masih membariskan pemimpin ada kaitan kekeluargaan pada PRU15, Dr Wan Azizah berkata, perkara itu kerana pemimpin berkenaan mahu meneruskan usaha membela nasib dan memberikan keadilan kepada rakyat.

Katanya, beliau sudah banyak kali menjelaskan bahawa pembabitan beliau dan anaknya Nurul Izzah dalam politik pada mulanya kerana berjuang untuk Anwar Ibrahim.

“Memang benar dulu (sertai politik) kerana Anwar keluarga saya, kini (perjuangan) untuk keadilan semua rakyat Malaysia,” katanya yang akan bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak pada PRU15.

Related posts

Leave a Comment