Tiada paksaan dos penggalak kedua

PUTRAJAYA 18 April – Kementerian Kesihatan hanya mengesyorkan dan tidak ada paksaan bagi warga emas yang berisiko tinggi untuk mengambil suntikan dos penggalak kedua, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Menerusi video berdurasi 2.20 minit di Twitter beliau hari ini, Khairy berkata, individu terlibat diberikan pilihan sama ada untuk mengambilnya atau tidak bagi menambah perlindungan terhadap gejala serius COVID-19.

“Ini pilihan, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesyorkan sahaja. Jangan kata saya paksa, saya cuma nak pastikan warga emas kita dapat perlindungan yang terbaik, terutama bila anda semua balik kampung ramai-ramai nanti,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan berkata, pengujian yang diselia secara maya bagi RTK-Ag profesional Covid-19 kini dibenarkan untuk memudahkan orang ramai melakukan ujian berkenaan.

Kalau perlukan ujian profesional RTK bolehlah buat melalui ‘live video’ sahaja dan anda boleh dapat keputusan ujian melalui e-mel contohnya. Pengamal perubatan boleh menawarkan perkhidmatan ini kepada orang ramai,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, penerima vaksin primer Sinovac dan Sinopharm serta akan mengembara ke negara yang tidak mengiktiraf vaksin terbabit boleh mendapatkan vaksin lain bagi dos penggalak kedua melalui permohonan di aplikasi MySejahtera atau datang terus (walk-in) ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Beliau berkata maklumat lanjut berkenaan PPV yang masih beroperasi boleh dilayari di laman sesawang www.protecthealth.com.my.

Bagi remaja yang mempunyai sistem imun yang lemah atau ‘immunocompromised’, Khairy berkata, golongan itu juga kini boleh menerima dos penggalak.

“Sila semak dengan doktor anda untuk maklumat mengenai dos penggalak, ini penting sebab terdapat sedikit peningkatan kes dalam kalangan remaja, jadi untuk kumpulan ini, bolehlah ambil dos penggalak untuk kekal selamat,” katanya.

Katanya, beliau akan mengumumkan perkembangan terbaharu berkenaan sambutan Aidilfitri, termasuk beberapa pengumuman lain pada minggu depan.

Related posts

Leave a Comment