PH tolak kerjasama dengan GTA

PETALING JAYA 23 Okt. –  Pakatan Harapan (PH) menolak kerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Saifuddin Nasution Ismail.

Menerusi ciapan di Twitter, semalam, walaupun berkongsi tujuan yang sama untuk kalahkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) tetapi PH akan hadapi PRU15 kali ini sebagai gabungan tanpa Dr Mahathir Mohamad.

“Kami doa Mahathir diberi kesihatan yang baik dan jika Mahathir pilih masuk bertanding kami ucap selamat maju jaya,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja GTA dan Penasihat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), menyatakan kesediaan bertemu Pengerusi PH, Anwar Ibrahim bagi mengadakan rundingan kerjasama menghadapi PRU15.

Bekas Perdana Menteri itu turut melahirkan keyakinan mempunyai matlamat yang sama dengan Anwar dalam mengetepikan BN malah sedia mengambil langkah pertama ke arah kerjasama itu.

Mengulas perkembangan itu, Anwar menegaskan tiada masalah bertemu dan berbincang dengan Dr Mahathir mengenai kerjasama politik menjelang PRU15.

Bagaimanapun, Presiden PKR itu menegaskan, perkara yang ditekankan PH ialah kepentingan melawan PN dan BN.

Pada PRU lalu, atas kapasiti Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir dan Anwar bekerjasama menewaskan BN pada 2018 di bawah naungan PH yang turut disertai PKR, DAP dan  Amanah.

Dr Mahathir kemudian meninggalkan Bersatu yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH, sebelum mengasaskan Pejuang dan disusuli pembentukan GTA yang membariskan parti berasaskan Melayu.

GTA turut dianggotai badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan profesional.

Related posts

Leave a Comment