Jambatan Labuan – Menumbok diteruskan

LABUAN: Kerajaan tidak menarik balik cadangan projek pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok sebaliknya sudah beberapa kali dibincangkan pada peringkat Kabinet, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, idea cadangan pembinaan jambatan Labuan ke tanah besar Sabah itu tidak pernah dihentikan, sebaliknya diteruskan seperti biasa.

Katanya, dua tiga minggu sebelum Parlimen dibubarkan, cadangan pembinaan jambatan Labuan itu dibincangkan di peringkat Kabinet menyentuh dua perkara iaitu  diteruskan dan kedua bagaimana formula pelaksanaannya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Amanat Jelajah Keluarga Malaysia di Dewan Konvensyen Kompleks Ujana Kewangan di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, agak sukar untuk Kerajaan Persekutuan mengeluarkan bajet tinggi bagi pelaksanaan pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok yang menelan belanja besar.

“Mungkin pelaksanaannya adalah secara inisiatif kewangan swasta membabitkan pihak swasta, namun ia perlu dibincang secara menyeluruh kerana mungkin ada pertukaran tanah,” katanya.

Ismail Sabri berkata, ada cadangan pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok membabitkan penambakan kawasan laut, tetapi tidak pasti keluasan yang diperlukan.

Katanya, formula terbaik sedang dicari dan pada masa sama, Kabinet ingin melihat pelan jangka panjang pelaksanaan pembinaan jambatan ini,.

.Perdana Menteri berkata, kerajaan mengakui pembangunan di Labuan agak perlahan walaupun sektor kewangan sudah lama beroperasi.

Related posts

Leave a Comment