Kes ke-16 di Malaysia

PUTRAJAYA 8 Feb. – Satu lagi kes koronavirus dicatatkan apabila seorang wanita warga China dari Wuhan disahkan positif kluster Novel Koronavirus 2019 (2019-nCoV), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kes ke 16 itu melibatkan pelancong berumur 67 tahun yang merupakan ibu kepada kawan wanita yang disahkan positif koronavirus pada 6 Februari lepas. 

Berikutan kes terbaharu ini adalah kontak rapat kepada kes berkenaan, beliau telah diarahkan untuk tidak ke mana-mana bagi menjalani Perintah Pengawasan dan Pemantauan. 

“Selepas ujian pengesanan dan pengesahan dibuat dan dilaporkan positif pada 7 Feb, wanita itu telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan berada dalam keadaan stabil,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini koronavirus di sini hari ini. 

Sementara itu,  seorang lelaki warga China yang disahkan positif koronavirus pada 25 Januari lepas dijangka dibenarkan pulang dalam masa terdekat. 

Beliau berkata lelaki yang dirawat di Hospital Permai, Johor yang mempunyai jangkitan radang paru-paru itu sedang menunggu keputusan ujian ulangan ketiga, selepas ujian pertama dan kedua disahkan negatif. 

Lelaki itu telah menerima rawatan ubat antiretroviral, ubat yang digunakan untuk merawat pesakit yang dijangkiti oleh Human Immunodeficiency Virus (HIV). 

Timbalan Perdana Menteri berkata daripada 12 kes yang melibatkan warganegara China, empat daripadanya iaitu kes pertama, kedua, ketiga dan kelima adalah ahli keluarga kepada kes positif pertama di Singapura dan kesemua mereka kini sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh. 

“Bagi empat warganegara Malaysia yang dikesan positif jangkitan koronavirus, ujian ulangan akan dilakukan dalam tempoh terdekat,” katanya. 

Related posts

Leave a Comment