Hasrat DAP ditolak, DUN Pulau Pinang kekal

PETALING JAYA 15 Okt. – Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) memuktamadkan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan serentak dengan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.

Dengan pengumuman itu, ini bermakna MPPH menolak cadangan DAP untuk mempertimbangkan supaya DUN Pulau Pinang dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan bersama Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dengan  memberi dua alasan menolak pembubaran,  kenyataan ringkas majlis itu petang ini berkata, kerajaan Negeri PH akan memberi fokus membantu rakyat menghadapi banjir dengan tidak membubarkan DUN.

“Pertama, PH tolak kerakusan pemerintah memaksa pilihan raya kepada rakyat yang derita susah hadapi banjir.

“Kedua, jentera kerajaan yang sah dan ada mandat sepatutnya diberi ruang tumpu persiapan tangani banjir serta bantu mangsa banjir dan bukan tumpu pilihan raya.” jelas kenyataan itu selepas mesyuarat MPH pagi ini.

Hadir sama pada mesyuarat itu, Pengerusi PH yang juga Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Sebelum ini DAP Pulau Pinang memohon mempertimbangkan semula keputusan tidak membubarkan DUN bagi mengelakkan beberapa kesulitan termasuk pengundi terpaksa keluar dua kali mengundi.

DAP Pulau Pinang mengemukakan cadangan itu selepas mendengar pandangan rakyat negeri itu.

Hasrat DAP itu dibawa kepada Mesyuarat MPPH pada 12 Oktober lalu tetapi tidak memberi keputusan muktamad.

Sebaliknya , Anwar meminta DAP mengadakan perbincangan semula berhubung cadangan itu dengan menegaskan tiga negeri yang ditadbir PH mesti mengambil keputusan seiring dan konsensus dalam memutuskan hal pembubaran DUN.

Dengan keputusan itu hari ini, setakat ini enam negeri memutuskan tidak membubarkan DUN termasuk tiga negeri dikuasai Pas iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Setakat ini, negeri di bawah BN iaitu Perlis dan Pahang sudah membubarkan DUN masing-masing sementara Perak masih belum ada keputusan.

Negeri-negeri lain telah mengadakan PRN masing-masing sebelum ini iaitu Sabah, Sarawak, Johor dan Melaka.

Related posts

Leave a Comment