Pembaikan tertakluk penghantaran, penerimaan

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Kerja-kerja penyelenggaraan kerosakan eskalator dan lif di beberapa stesen rel perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel di Lembah Klang sedang giat dijalankan.

Menurut kenyataan Rapid Rail Sdn Bhd hari ini, selaku operator kepada perkhidmatan awam tersebut, pihaknya mengambil maklum berkenaan kerosakan itu dan isu ini dalam perhatian dan tindakan.

“Merujuk kepada ciapan yang dikongsikan oleh pengguna akaun media sosial yang juga dipetik oleh media massa, pihak Rapid Rail ingin memberi kemas kini status penyelenggaraan fasiliti di bawah kendalian kami,” kata kenyataan melalui Facebook.

Kenyataan itu menjelaskan kerja-kerja pembaikan eskalator dan lif ini adalah tertakluk kepada penghantaran dan penerimaan alat ganti daripada pihak pembekal di luar negara.

Dalam hubungan ini Rapid Rail telah dimaklumkan oleh pihak pengilang peralatan asal (OEM) bahawa penghantaran alat ganti dari Shanghai, China akan dilakukan secara berperingkat.

Penerimaan kumpulan pertama dijangka pada bulan ini, diikuti penerimaan kumpulan kedua pada pertengahan bulan November manakala penerimaan kumpulan ketiga pada minggu keempat bulan November yang melibatkan  sejumlah 87 ‘handrail’ dan 37 ‘stepchain’.

Menurut kenyataan itu lagi, sebagai langkah jangka panjang, Rapid Rail telah melaksanakan program Condition Based Maintenance (CBM) dimana proses mengganti komponen yang dinilai akan rosak atau kerap bermasalah akan terus dijalankan tanpa menunggu jangka hayat tamat.

Buat masa ini, berdasarkan konsep CBM, pihak Rapid Rail teleh membuat tempahan pesanan sebanyak 192 unit ‘handrails’ dan 22 unit ‘stepchains’ bagi merangkumi kesemua laluan rel.

Related posts

Leave a Comment