Keabsahan, kestabilan bantu tangani isu ekonomi

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan memberi peluang kepada rakyat menentukan parti politik atau gabungan yang difikirkan sesuai untuk memimpin serta menjamin keabsahan kerajaan yang dibentuk.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, PRU-15 juga dapat memastikan kestabilan yang utuh apabila Kerajaan terdiri daripada parti politik atau gabungan yang mempunyai majoriti terbesar di Dewan Rakyat.

“Keabsahan dan kestabilan mampu memberikan fokus untuk menangani isu-isu  ekonomi yang melanda Malaysia, tiada rengek bengek politik, perebutan jawatan timbalan perdana dan, menuntut jawatan menteri atau GLC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengingatkan, antara beberapa isu ekonomi yang melanda Malaysia sekarang yang akan melarat ke suku kedua 2022 adalah, kadar inflasi negara yang semakin meningkat, terutama sekali inflasi harga makanan.

Kedua,  nilai Ringgit yang semakin merendah yang amat memerlukan intervensi menyeluruh bagi mestabilkannya semula.

“Ketiga, pengurangan sumber manusia atau pekerja dalam beberapa sektor ekonomi seperti sektor perladangan dan sektor perkhidmatan, dan keempat ketidaktentuan situasi geopolitik serantau yang dunia yang telah memberi gangguan kepada rantaian ekonomi global,” katanya.

Ahmad Zahid berkata , antara langkah yang perlu diambil adalah dengan memberi komitmen kepada perubahan struktural yang radikal dan menyeluruh.

“Seperti contoh, perubahan struktural kepada pasaran kerja, keadaan fiskal dan perbelanjaan negara juga perlu direformasikan secara cermat dan tidak teragak-agak melalui disiplin fiskal, memperkenalkan cukai-cukai baharu dan menyalurkan perbelanjaan Kerajaan berteraskan data terkini dan keutamaan.

“Saranan ini adalah sejajar dengan apa yang disyorkan oleh Bank Dunia baru-baru ini, dan juga telah disambut oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Bagaimanapun , Presiden UMNO itu berkata, sebelum semua itu dilaksanakan, keabsahan dan kestabilan Kerajaan yang lebih utuh perlu dicapai.

“Kerana itulah Barisan Nasional selama ini menyeru untuk menyegerakan PRU-15 agar apa-apa pun parti politik yang membentuk Kerajaan pasca PRU-15 kelak akan berupaya mentadbir dengan baik,” katanya.

Beliau berkata keabsahan dan kestabilan yang lebih utuh akan menjadikan usaha-usaha pengukuhan ekonomi lebih tersusun bagi mendepani cabaran ekonomi global yang tidak menentu.

Kestabilan politik juga katanya akan membawa kepada kemakmuran negara dan perancangan ekonomi yang lebih menyeluruh.

“Pelabur luar akan lebih yakin untuk datang sebagaimana selepas PRN Johor, nilai  pelaburan di Johor meningkat lebih 800 peratus berbanding pelaburan tahun lepas.

Lonjakan positif inilah yang kita mahukan kepada negara. Lebih-lebih lagi tidak ada lagi lompatan politik akan berlaku selepas pilihan raya ke-15 ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment