Negeri Sembilan sertai Selangor tidak bubar DUN

SEREMBAN 12 Okt. – Negeri Sembilan menjadi negeri kedua selepas Selangor yang tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ini menjadikan dua negeri di bawah Pakatan Harapan (PH), mengekalkan pendirian Majlis Presiden PH sebelum ini manakala Pulau Pinang diminta membincangkan semula cadangan pembubaran awal yang dicadangkan DAP.

Menteri Besar, Aminuddin Harun, berkata, Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan supaya kerajaan negeri mengutamakan dulu isu membabitkan kepentingan rakyat dan persiapan menghadapi banjir sebelum membubarkan DUN.

“Cerita persetujuan untuk kita tangguh pembubaran DUN sebenarnya sudah mendapat perkenan daripada Tuanku Muhriz terlebih dulu sebelum keputusan dibuat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Tuanku menitahkan terpulang kepada kerajaan negeri (pembubaran DUN) dan baginda tiada halangan mengenainya. Kita maklumkan mahu buat tahun depan, malah baginda menitahkan supaya kerajaan negeri fokus hal kepentingan rakyat terutama isu banjir,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, petang ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada Tuanku Muhriz mengenai tempoh akhir mandat penggal PRU-14 sebelum membubarkan DUN pada tahun depan.

“Tuanku serius mengenai isu banjir dan itu yang saya selalu tekankan. Isu rakyat jadi keutamaan terutama masalah banjir,” katanya.

Berhubung gesaan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob supaya negeri di bawah PH turut membubarkan DUN serentak dengan Parlimen sebagai langkah menjimatkan kos, Aminuddin berkata, penangguhan pembubaran DUN dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor terutama isu banjir.

“Individu yang menguruskan banjir dan pilihan raya adalah orang yang sama. Pegawai daerah adalah pengerusi bencana daerah dan dia juga pengurus pilihan raya, semua duduk di pusat mengundi.

“Kita tidak tahu banjir berlaku dan sekarang pun sudah berlaku (banjir),” katanya.

Related posts

Leave a Comment