13 tempatan, 2 import

PUTRAJAYA : Sebanyak 15 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini sebanyak 8,587 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada kes baharu yang dilaporkan, dua adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan terdiri daripada warganegara Malaysia, manakala 13 kes penularan dalam negara adalah dalam kalangan bukan warganegara.

Pada 9 Jun lepas, buat pertama kali tiada kes penularan Covid-19 dalam negara yang melibatkan warganegara Malaysia.

Setakat ini, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 289 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Dr Noor Hisham berkata, 21 individu pulih daripada dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya 8,177 kes atau 95.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Bagi kes melibatkan bukan warganegara, satu daripadanya adalah kes saringan pra pembedahan di Hospital Selayang, Selangor, manakala 12 lagi daripada Kluster Pedas di Negeri Sembilan.

Sehingga kini, Dr Noor Hisham berkata, dua kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia kekal 121 kes atau 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Related posts

Leave a Comment