GENEVA: Kematian sekurang-kurangnya 66 kanak-kanak di Gambia akibat kecederaan buah pinggang berkemungkinan dikaitkan dengan ubat batuk dan selesema tercemar yang dihasilkan oleh pengeluar ubat di India.
Berikutan itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sedang menjalankan siasatan bersama pengawal selia India dan pembuat ubat, Maiden Pharmaceuticals yang berpangkalan di New Delhi.
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata pihaknya juga mengeluarkan amaran produk perubatan dan meminta pengawal selia mengeluarkan barangan Maiden Pharma daripada pasaran.
Produk meliputi empat ubat batuk jenis sirap itu mungkin telah diedarkan ke tempat lain melalui pasaran tidak rasmi tetapi setakat ini hanya dikenal pasti di Gambia.
Kata WHO, analisis makmal mengesahkan dietilena glikol dan etilena glikol dijumpai dalam kuantiti yang tidak boleh diterima dan boleh menjadi toksik apabila dimakan.
Bulan lalu, kerajaan Gambia menjalankan siasatan punca kematian dan peningkatan kes kecederaan buah pinggang dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun yang dikesan sejak akhir Julai.
Maiden Pharmaceuticals mengeluarkan ubat-ubatan di kemudahannya di India yang kemudiannya dijual di dalam negara serta mengeksportnya ke negara-negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin.