PKP di daerah Keningau 2 minggu

KUALA LUMPUR 21 Mac – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan di daerah Keningau, Sabah bermula esok 22 Mac hingga 4 April ini, kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ia susulan peningkatan kes positif harian secara mendadak di daerah ini iaitu 42 kes hasil saringan secara bersasar di Kg Lingkudau yang juga telah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pelaksanaan PKP ini untuk memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar serta mengesan beberapa lagi kontak rapat dan mengawal pergerakan penduduk di daerah ini.

Dalam satu kenyataan, beliau memberitahu, kerajaan juga bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Tanah Merah, Kota Marudu, Sabah pada 22 Mac seperti yang dijadualkan.

Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 65 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 26 kes positif telah direkodkan.

Dalam perkembangan lain, semalam juga, seramai 100 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 97 dikenakan kompaun dan tiga direman.

Antara kesalahan direkodkan ialah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (48), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (27), aktiviti pusat hiburan (12), tidak memakai pelitup muka (11) dan rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (2).

Operasi Benteng pula  menangkap 13 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas tujuh buah kenderaan darat. Turut dikesan 39 buah bot/kapal di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan.

Related posts

Leave a Comment