Mulai 5 Okt. tukar parti hilang kelayakan

Tukar parti hilang kelayakan mulai 5 Oktober

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, akan berkuat kuasa esok, 5 Oktober.

Berikutan pelaksanaan akta itu, mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti pada atau selepas tarikh terbabit, akan hilang kelayakannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Akta A1663 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos dan diwartakan pada 6 September lalu.

Katanya, akta itu sebelum ini diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada 28 Julai lalu dengan sokongan majoriti seramai 209 Ahli Dewan Rakyat dan sokongan majoriti seramai 52 senator di Dewan Negara pada 9 Ogos.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga sudah perkenan tarikh kuat kuasa Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 pada 5 Oktober 2022 selaras dengan seksyen 1(2) dan seksyen 1(3) Akta A1663,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, dengan penetapan tarikh baharu kuat kuasa bagi Akta A1663 mulai esok, pindaan bagi seksyen 7A Jadual Kelapan, Fasal 6 Perkara 48, Perkara 160 dan Fasal baharu 3A Perkara 10 serta Perkara baharu 49A, dapat dikuatkuasakan dengan segera.

Ditanya mengenai pelaksanaan undang-undang terbabit di peringkat negeri, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akan mengutuskan surat kepada semua kerajaan negeri meminta mereka menyelaras dan menggunapakai pindaan yang sudah digubal di bawah Jadual Ke-8 Pindaan Perlembagaan itu.

“Jadual itu adalah untuk menyelaraskan penggunaan ahli berpindah parti di negeri-negeri yang boleh diguna pakai ke atas ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri).

“Kita mahu undang-undang itu diselaraskan supaya mudah peruntukan di semua negeri adalah sama kerana kita tidak mahu ada negeri lain yang berbeza.

“Sebab itu Perdana Menteri akan utus surat kepada negeri selepas ini supaya apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka bersidang pada penghujung tahun ini, pindaan kepada undang-undang itu dapat diselaraskan dan dibuat bersama dengan apa yang kita letak di bawah Akta A1663 ini,” katanya.

Dewan Rakyat pada 28 Julai lalu mencatat sejarah apabila RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua per tiga.

RUU yang digubal berasaskan lapan parameter utama itu diluluskan menerusi undi belah bahagian selepas dibentangkan oleh Ismail Sabri.

Ia diluluskan selepas dibahas selama dua hari oleh 54 Ahli Parlimen mewakili pihak kerajaan dan blok pembangkang, namun sesi perbahasan itu tidak disertai mana-mana wakil rakyat Bersatu.

Semalam Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memperkenankan 14 akta termasuk Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.

Related posts

Leave a Comment